Sahabat@Dusun Bayu

Saturday, April 23, 2011

Beban Tugas Guru Semakin Mencabar

Salam...

PDB nak kongsikan satu artikel berkenaan dunia pendidikan daripada Harian Metro...

Apa pandangan anda?

Beban Tugas Guru Kian Mencabar

PERHUBUNGAN guru dan pelajar yang dulunya berlangsung secara harmonis, saling menghormati serta mendapat pengiktirafan masyarakat, kini semakin berantakan. Bukan saja pelajar dilanda masalah disiplin guru juga semakin mula menunjuk lagak dengan tindakan membelakangkan nilai kemanusiaan dan kewarasan.

Dan masyarakat pula mula diasak pelbagai pertanyaan dan persoalan mengenai nilai serta kredibiliti guru. “Adakah guru boleh mendidik?”, “Guru sudah hilang akalkah hingga sanggup mendera dan menghukum pelajar seperti haiwan?” serta pelbagai lagi persoalan yang memerlukan jawapan segera.

Malangnya, semakin banyak salah laku guru didedahkan, masih ada yang berani berterusan menongkah arus dengan mengambil jalan penyelesaian sendiri seolah-olah tragedi yang berlaku tidak mampu meninggalkan peringatan.

Persoalannya, mengapakah guru masih tidak mahu mengambil iktibar? Adakah keberanian itu kerana berasa diri kebal dengan status terhormat yang diberikan masyarakat ataupun dibelenggu faktor lain hingga menjadikan mereka bertindak tanpa kewajaran.

Bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata masyarakat seharusnya memahami guru hanya manusia biasa yang tidak lekang daripada melakukan kesilapan.

Menurutnya, status guru hanya disandang kerana terbabit dengan kerjaya berkenaan manakala secara khususnya, mereka masih seperti anggota masyarakat lain yang berdepan dengan tekanan dan cabaran.

“Apabila masyarakat menggunakan status guru dalam membuat penilaian, secara tidak langsung membabitkan keseluruhan golongan berkenaan. Dengan kata lain, kalau seorang bermasalah, semuanya seolah-olah melakukan kesalahan serupa dan patut dihukum.

“Sedangkan yang bermasalah hanya seorang dua. Hakikatnya, mereka tetap sama seperti orang lain yang melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan cabaran masing-masing,” katanya.

Kebelakangan ini imej guru serta sistem pendidikan negara bagaikan tercalar teruk dengan pelbagai insiden luar jangkaan menjadikan masyarakat mula menilai dan memperkatakan profesionalisme golongan terbabit.

Jika dulu guru hanya menggunakan pendekatan rotan bagi tujuan mendidik, kini ada pula berani menggunakan kekerasan fizikal atas alasan sama. Malangnya kekerasan itu berakhir pula dengan tragedi.

Beliau berkata masyarakat boleh menyalahkan guru yang bersalah, namun perlu adil membuat penelitian terperinci sebelum menjatuhkan andaian.

Akuinya, ada guru berdepan dengan tekanan persekitaran luar biasa yang menjadi punca tindakan luar kewarasan, ditambah bebanan kerja serta sikap pelajar yang bermasalah.

“Dunia pendidikan hari ini tidak sama seperti dulu. Cabaran keterlaluan bukan saja persekitaran tapi sikap segelintir masyarakat yang bongkak serta lepas tangan menjadikan guru seperti ditindas.

“Masyarakat tidak boleh memaksa untuk memenuhi kehendak mereka secara total, malangnya berapa ramai mahu memahami? Kesudahannya apabila sentiasa ditekan dan tertekan, mereka boleh hilang pertimbangan.

“Apabila timbul isu membabitkan guru, masyarakat pula memberikan hukuman dan komen negatif sedangkan kebenaran masih belum terbukti. Ini menambah lagi beban guru yang sudah sedia terbeban,” katanya mengakui cabaran besar guru hari ini berlegar kepada matlamat untuk memuaskan hati ibu bapa dan masyarakat.

“Malangnya dalam memastikan usaha itu berjaya, banyak halangan perlu dihadapi, namun tidak semua memberi sokongan menjadikan tugas guru semakin sukar. Ditambah tekanan memenuhi standard tugasan, persekitaran, bilik darjah, keluarga dan sebagainya, guru pasti sukar ‘bernafas’.

“Jadi mengapa masyarakat tidak mahu memudahkan tugasan itu dengan bersama menggembleng usaha dan memberi ruang privasi kepada guru mencorakkan sendiri tanggungjawab? Saya percaya cara itu dapat membantu mereka lebih berdaya saing dan kurang tekanan,” katanya.

Beliau bagaimanapun akur ada guru mempunyai emosi tidak stabil, bercelaru dan memerlukan rawatan sama ada berbentuk dorongan psikologi atau perubatan.

“Masalahnya, mereka berkelakuan normal namun bahaya kepada pelajar. Guru seperti ini memerlukan pemerhatian khusus dan sekolah terutama pentadbiran perlu peka kerana membabitkan soal keselamatan.

“Bagaimanapun, jangan meletakkan kesalahan atau noktah penamat terhadap perlakuan itu. Jika boleh dibantu, hulurkan bantuan ataupun merujuk kepada mereka yang lebih arif dan pakar untuk membantu,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata tekanan terhadap komitmen tugas yang perlu dilaksanakan mengikut standard tertentu memungkinkan guru bertindak di luar batasan.

Menurutnya, guru yang tidak sanggup lagi menerima tekanan boleh bertindak di luar kawalan termasuk melempiaskan kemarahan kepada pelajar tanpa disedari hingga mengakibatkan masalah lain.

“Dulu, guru boleh mencorakkan cara pengajaran sendiri tanpa perlu memberi banyak komitmen terhadap tugasan lain. Berbanding sekarang, terlampau banyak kerja remeh temeh terpaksa dilakukan termasuk tugas dokumentasi yang perlu diserahkan kepada pihak tertentu.

“Tekanan demi tekanan di samping tidak mendapat sokongan persekitaran menyebabkan segelintir guru akhirnya tertekan. Untuk menyalur atau meredakannya, mereka menzahirkan kepada golongan yang tidak mampu melawan dan kebiasaannya pelajar menjadi pilihan.

“Malangnya, ramai tidak prihatin terhadap masalah ini dan melambakkan segala tanggungjawab pada guru. Apatah lagi kebanyakan pelajar hari ini ‘tidak makan saman’ menyebabkan guru bagai terpaksa mengambil tindakan luar biasa untuk mengimbangi keadaan meskipun salah,” katanya.

Beliau berharap guru yang berasakan diri bermasalah agar dengan rela hati bertemu kaunselor atau pihak bertauliah untuk meredakan tekanan dan mencari alternatif terbaik untuk mengawal diri.

“Jika berasakan diri bermasalah, jumpa kaunselor untuk mencari penyelesaian. Tidak usah malu dan ketepikan persepsi buruk orang lain demi kebaikan diri sendiri.

“Amat malang sekali imej guru yang selama ini dihormati tercalar gara-gara masalah yang boleh diselesaikan. Dalam hal ini, masyarakat atau pelajar tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka berhak untuk bersuara,” katanya.

Bapa pelajar sekolah menengah di Alor Setar, Kedah, Izir Ahmad, berkata guru yang melepaskan kemarahan kepada pelajar dianggap tidak profesional dan melanggar batas tanggungjawab diamanahkan.

“Saya akui ada pelajar hari ini sangat degil, namun sebagai guru dan orang dewasa, perlu bertindak secara matang untuk mengawal perasaan. Walaupun perasaan bersifat subjektif, namun ia boleh dibentuk dengan pemikiran positif.

“Sebagai bapa, saya juga gusar melepaskan anak ke sekolah untuk dididik oleh guru bermasalah. Bagaimanapun saya yakin hanya segelintir guru saja yang bermasalah manakala yang lain masih berdedikasi untuk mendidik pelajar menjadi cemerlang,” katanya.

Anda sudah bacakan...?

Apa pandangan anda...?

4 comments:

cikgu myvi said...

Guru = P&P + RPH + Guru Kelas + Ketua Panitia + Guru Data + KOKUM + Tugas2 sampingan = Hehehe ape jadik...

Oda Willy said...

kalaulah semua orang faham peranannya...hmmmm

Anonymous said...

aku pun buat isu pendidikan.

Isu Pendidikan: jadi guru tak perlu tahap kepandaian yang tinggi?

http://qamarulabdullah.blogspot.com/2011/04/isu-pendidikan-jadi-guru-tak-perlu.html

ciK LyndaWawa said...

selamat hari guru..x lamak agik ya...=]

Aku & Dia

Daisypath Anniversary Years Ticker