Salam...
Apa khabar sahabat-sahabat...?
Semoga sihat-sihat sahaja...
Jom baca berita ini yg saya petik daripada Berita Harian...
HANTAR GURU BM KE LUAR NEGARA
Kerajaan teliti cadangan ajar anak warganegara bahasa, budaya Malaysia 
KERAJAAN akan meneliti cadangan untuk melatih dan menghantar guru  bahasa Melayu bagi mengajar kanak-kanak warga Malaysia di luar negara.
Langkah itu adalah susulan cadangan Malaysian Danish Association (MDA)  yang kebanyakan ahlinya bekerja dan menetap di Denmark, yang bimbang  anak mereka tidak tahu langsung berbahasa Melayu dan tidak mengenali  budaya negara asal-usul mereka. 
Ia disuarakan sendiri pengerusi persatuan itu, Poo Chu Chua, pada majlis  makan malam bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  di sini, malam tadi. 
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran yang berada di sini untuk  menghadiri Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelajaran Asia Eropah  (ASEMME) di Axelborg Hall berkata, cadangan sama pernah disuarakan warga  Malaysia yang menetap di London sebelum ini. 
"Kita boleh mengkaji perkara ini kerana ia sesuatu yang baru. Kita  perlu teliti kerana ada implikasi kos. Kita kena teliti berapa ramai  anak Malaysia di luar negara perlu diajar bahasa Melayu dan di mana  kelas kita nak adakan?. 
"Kita juga perlu kaji bolehkah Kementerian Pelajaran menghantar  guru ke sini, atau kita bawa orang kita di sini ke Malaysia untuk  dilatih dan mereka boleh balik semula ke sini untuk menjadi tenaga  pengajar, kerana mereka menetap di Denmark," katanya pada sesi dialog  selepas makan malam bersama lebih 100 rakyat Malaysia di Denmark di  sini.     
Ini semua kata Timbalan Perdana Menteri perlu diteliti kerana  Malaysia juga mempunyai kemudahan untuk memberikan latihan, namun kurang  pasti sama ada boleh menghantar tenaga pengajar tetap di negara ini. 
"Tapi bahasa Melayu tidak terlalu sukar. Ada orang kita boleh  mengadakan kelas dan memberikan kelas antara satu ke dua jam sehari,  kita boleh teliti perkara ini," katanya. 
Justeru, Muhyiddin mengarahkan MDA mengemukakan butiran  terperinci, dengan beliau akan kaji sama ada kementerian boleh  menghantar tenaga pengajar atau melatih orang untuk dihantar ke sini. 
Dari segi buku teks kata beliau, Kementerian bersedia menghantar  buku bahasa Melayu secara percuma dari Malaysia untuk kemudahan  kanak-kanak Malaysia di luar negara. 
Terdahulu, ketika mengemukakan isu berkenaan Chu Chua yang juga  seorang pensyarah yang bekerja di sini berkata, mereka mempunyai anak  kecil dan mereka mahu melihat anak-anak mereka belajar bahasa Melayu  serta faham dengan budaya Malaysia. 
Justeru beliau mahu Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian  Pelajaran memberi sokongan kepada persatuan itu, bagi menganjurkan kelas  berkaitan, sekali gus mendapatkan tenaga pengajar. 
"Kita tidak ada sukarelawan untuk mengajar bahasa Melayu dan  budaya Malaysia supaya anak-anak kami, biarpun jauh di luar negara,  masih memiliki bahasa dan budaya yang dibawa bersama mereka,” katanya.
 Sumber: Berita Harian