Sahabat@Dusun Bayu

Saturday, November 8, 2008

PPSMI: Sejauhmana keberkesanannya?

Salam…


Agak lama aku menyepi daripada melayan blog aku ini. Memang agak sibuk dengan tugas sebagai seorang pelajar dan pemimpin pelajar di kolej menjadi salah satu sebab blog aku ini bersawang selama sebulan. Pelbagai perkara dan peristiwa yang berlaku dalam tempoh tersebut dan aku hanya mampu mendengar cerita daripada kawan-kawan dan melalui surat khabar yang aku sempat baca.


Dan akhirnya terbitlah entri ini daripada respon mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Seperti yang kita semua ketahui, keputusan UPSR 2008 akan diumumkan pada 13 November ini. Keputusan UPSR inilah yang akan menjadi penanda aras kepada hala tuju PPSMI yang telah menjadi isu hangat sejak pelaksanaannya pada tahun 2003. Adakah PPSMI ini perlu diteruskan atau sebaliknya? Adakah pelaksanaan PPSMI ini berjaya atau sebaliknya? Adakah objektif pelaksanaan PPSMI ini tercapai? Semua persoalan tersebut akan terjawab setelah keputusan UPSR 2008 diumumkan nanti. Dan harapan aku sebagai salah seorang warganegara Malaysia yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI ini agar pihak Kementerian Pelajaran Malaysia tulus dan jujur mengeluarkan analisis mengenai pencapaian pelaksanaan PPSMI tersebut dan tidak ada kepentingan individu.


Keputusan UPSR 13 November

PUTRAJAYA - Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan pada 13 November ini iaitu sehari sebelum cuti sekolah bermula.


Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pencapaian UPSR itu nanti akan menjadi penanda aras kepada hala tuju Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


"Keputusan akan diumumkan minggu depan dan diharapkan pencapaian akan menunjukkan peningkatan yang positif.


"Kita juga pada masa yang sama akan mengukur pencapaian UPSR 2008 sebagaimana yang dimaklumkan sebagai penanda aras," katanya selepas merasmikan mesyuarat bulanan Kementerian Pelajaran di sini semalam.


Bagi tahun ini seramai 518,616 calon akan menduduki peperiksaan membabitkan 8,171 buah sekolah.


(Sumber: Kosmo/8 November 2008)


Memartabatkan Bahasa Melayu adalah agenda yang lebih penting dan bukannya memartabatkan Bahasa Inggeris. Tidak salah sekiranya kita ingin meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Tetapi, janganlah disebabkan persaingan global yang semakin rancak ini dan memerlukan kita menguasai Bahasa Inggeris, bahasa kita di anaktirikan.


Mantapkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah dan bukanlah mengajarkan mata pelajaran sains dan matametik dalam Bahasa Inggeris. Itu lebih baik. Sekiranya kita tidak memartabatkan Bahasa Melayu di persada dunia, siapakah lagi yang akan memartabatkannya. Negara Jepun boleh menjadi contoh kepada kita. Mereka sangat mementingkan bahasa mereka dan Negara mereka juga sangat maju.


Baru-baru ini, timbul isu papan tanda jalan di Pulau Pinang yang menggunakan pelbagai bahasa. Barulah ada orang kita yang sedar bahawa bahasa kita semakin diperlekehkan. Barulah orang kita sedar bahawa Perkara 152 dan 153 perlembagaan Malaysia telah dicemari. Barulah orang kita hebat berdebat mempertahankan maruah bahasa dan diri sendiri. Salah siapa?


Masih sempat lagi kalau kita mahu mengubah sesuatu yang telah dilaksanakan sebelum menjadi lebih parah. Apa-apa keputusan, mestilah mengambil kira pandangan orang lain dan bukannya keputusan individu untuk kepentingan diri masing-masing.


Kepada semua orang kita, saya perlukan respon anda mengenai isu ini. Bersama-samalah kita memartabatkan bahasa kita.


“Hidup Bahasa Melayu….Hidup Bangsa Melayu…”

1 comment:

Anonymous said...

banyak kebaikan PPSMI ni sbenarnya kalau kita kaji dengan lebih mendalam..kita lihat bagaimana dahulu sebelum zaman kegemilangan islam. para cendekiawan islam pada masa itu mempelajari segala ilmu daripada tamadun yunani, rom dan sebagainya lalu mengembangkan ilmu yang dipelajari dengan mngunakan bahasa arab. untuk mempelajari semua ilmu itu, mereka trpaksa belajar dalam bahasa rom atau yunani. kerana apa? kerana bahasa rom dan yunan pada masa itu adalah bahasa ilmu. bila kita sudah menguasai ilmu dalam bahasa asing itu, barulah kita apat membina tamadun dan seterusnya mengembangkan ilmu dalam bahasa kita pula. kita lihat pula semasa kebangkitan renaissence selepas zaman gelap eropah. mereka beljar ilmu2 dalam bahasa arab. kerana apa?kerana bahasa arab ketika itu adalah bahasa ilmu. hasilnya hari ini kita dapat lihat kehebatan bangsa eropah dlm sains dan teknologi. hari ini bahsa inggeris telah menjadi bahasa ilmu. jadi mengapa tidak, kita belajar ilmu2 itu dalam bahasa inggeris dan setelah generasi baru kita nanti meguasai sains dan teknologi, maka ilmu tersebut boleh dikembangkan di dalam bahasa melayu dan tidak mustahil suatu hari nanti bahasa melayu akan jadi bahasa ilmu.

Aku & Dia

Daisypath Anniversary Years Ticker