Sahabat@Dusun Bayu

Wednesday, June 24, 2009

PEMBANTU GURU: Perlu atau tidak?

Salam...

Minggu lepas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah mencadangkan skim pembantu guru diperluaskan di sekolah harian dan berasrama penuh bagi membantu tugas guru yg dibebani dgn tugas pengkeranian. Persoalannya sekarang, adakah perlu jawatan Pembantu Guru tersebut diperkenalkan? Di sini Poet Dusun Bayu sediakan beberapa keratan berita mengenai isu ini.

NUTP cadang skim pembantu guru

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini mencadangkan skim pembantu guru diperluaskan di sekolah harian dan berasrama penuh bagi membantu golongan guru yang kini turut dibebani tugas perkeranian.

Sambil meminta kerajaan mempertimbangan cadangan itu demi melahirkan pelajar yang hebat, Presiden NUTP Hashim Adnan berkata ia antara lain akan membolehkan para guru memberikan tumpuan penuh terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

"Tugas perkeranian ini kadang-kadang mengambil masa yang lama yang perlu dibuat oleh cikgu itu sendiri, contohnya mengira stok barangan di stor.

"Ini semua satu penambahan kerja yang tak sepatutnya dilakukan oleh guru kelas. Guru ini satu sahaja dalam hati dia, dia mahu semua anak murid dia lulus. Mana-mana guru pun tak mahu anak murid dia gagal.

"Tetapi atas sebab tugas perkeranian dia banyak sangat, bila dia letih dan penat, dia dah tak mampu nak mengajar dan dipenghujungnya anak murid juga yang rugi," katanya kepada pemberita selepas seminar NUTP di sini hari ini.

Hashim berkata pembantu guru, yang terletak dibawah skim yang sama dengan pembantu tadbir perkeranian dan operasi gred N17 dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kini hanya ditempatkan di prasekolah dan sekolah pemulihan bagi membantu guru.

"Setakat ini di sekolah harian dan berasrama masih belum ada lagi pembantu guru dan dengan anggaran 5.5 juta pelajar, kita memerlukan kira-kira 11,000 orang pembantu guru untuk 10,000 buah sekolah di seluruh negara," katanya.

Hashim berkata pembantu guru itu juga boleh diberikan peranan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar sekiranya terdapat sesuatu aktiviti diluar sekolah.

"Sebagai contoh, sekiranya sesebuah sekolah itu memasuki pertandingan bola sepak di peringkat daerah, pembantu guru inilah yang diberi tanggungjawab membawa pelajar ke stadium dan menjaga keselamatan dan barangan mereka. Jadi guru akan kurang sedikit bebannya," katanya.

Mengulas cadangan mensyaratkan pelajar wajib lulus Bahasa Inggeris sebagai syarat layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Hashim berkata ia perlu ditangguhkan sungguhpun ia masih diperingkat cadangan, sehingga negara mempunyai guru berkemahiran dan berkelayakan yang mencukupi untuk mengajar subjek itu.

"Perlu diingat, kita tidak mahu guru yang hanya pergi kursus selama dua minggu kemudian diminta mengajar bahasa Inggeris. Ini tidak boleh. Kalau mahu, letakkan guru yang sememangnya mahir, fasih dan berkelayakan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris," katanya.

"Selain itu, sebelum dilaksanakan cadangan itu, kita perlu pastikan kita mempunyai cukup guru untuk mengajar. Kalau di bandar kita tidak khuatir tetapi di pedalaman, bagaimana. Kita tak boleh membiarkan pelajar di luar bandar terus ketinggalan ekoran ketiadaan guru yang benar-benar menguasai bahasa Inggeris untuk mengajar mereka," katanya.

Sumber-- BERNAMA



11,000 pembantu guru diperlukan

Laksana tugas perkeranian, kokurikulum

KUALA LUMPUR: Kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan bagi meringankan beban guru yang terpaksa menjalankan 'kerja sosial' di luar tugasan seperti mengemas kini rekod, logistik, kegiatan kokurikulum dan ada antaranya menjalankan kerja penyelenggaraan bangunan sekolah.

Ketika ini, 380,000 guru dikatakan tidak mampu fokus kepada pengajaran di kelas disebabkan terpaksa menjalankan kerja luar tugasan yang dianggap beban tambahan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata jika cadangan itu dilaksanakan, pekerja am ini mengurangkan beban guru serta sebagai persiapan awal menjayakan rancangan program penilaian prestasi sekolah yang dijangka pada 2010 atau 2011.

Katanya, kini sudah ada pembantu guru tetapi cuma disediakan untuk kelas pendidikan khas di sekolah tertentu, sedangkan pembantu itu patut disediakan pada semua 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Jika ini dilaksanakan, setiap sekolah akan menerima pembantu guru mengikut jumlah murid.

"Guru tidak lagi perlu memikirkan soal 'kerja sosial' dan boleh fokus kepada pengajaran di dalam kelas dan tidak perlu habiskan banyak masa jalankan tugas di luar bidang kerja.

"Tugas mengajar yang lebih penting, tiada guru yang mahu muridnya gagal, tetapi jika terlalu banyak beban, mereka akan kepenatan dan hilang fokus.

"Bagaimana nak mengajar, sudah tentu kualitinya merosot," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng dan pemimpin kanan NUTP. Sebelum itu, beliau menghadiri Seminar Pendidikan NUTP yang membincangkan mengenai Penilaian berasaskan sekolah dan Transformasi Pendidikan.

Pembantu guru paling ideal atau minimum diperlukan ialah nisbah 500 (murid): 1 (pembantu) dan berdasarkan jumlah murid serta pelajar mencecah 5.5 juta orang, pembantu guru diperlukan ialah 11,000.

Hashim berkata, pembantu guru tidak mencampuri tugas mengajar, cuma membantu guru dari aspek lain termasuk kegiatan kokurikulum seperti urusan mengendalikan latihan, pertandingan sukan atau aktiviti persatuan.

"Jika tugas itu dijalankan pembantu, tidak timbul masalah kelas ditunda atau digantikan guru lain yang semestinya tidak mengajar di kelas ganti kerana berlainan subjek," katanya.

NUTP juga meminta kerajaan menangguhkan sementara cadangan mewajibkan pelajar lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat mendapatkan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menyifatkan guru tidak mencukupi dan belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

"Kena kaji masalah guru di luar bandar. Kita perlukan guru pengkhususan Bahasa Inggeris, bukan setakat tangkap muat. Ini tidak menjamin kualiti, bagaimana ajar murid sedangkan guru pun tak cukup bagus, " katanya.


Sumber-Berita Harian


Wujud jawatan pembantu guru

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah-sekolah bagi menjalankan tugas sosial terhadap pelajar yang sebelum ini terpaksa dilaksanakan guru-guru sendiri.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, langkah itu bagi memastikan guru-guru dapat memberi perhatian kepada tugas-tugas mengajar sahaja.

''Sebelum ini mereka terpaksa menguruskan hal-hal sosial pelajar seperti kokurikulum, urusan dokumen pelajar dan aspek luar kelas yang lain, jadi dengan adanya pembantu, mereka tidak dibebankan lagi dengan tugas seperti itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penilaian Berasaskan Sekolah dan Transformasi Pendidikan anjuran NUTP di sini hari ini.

Hashim berkata, buat masa sekarang, jawatan tersebut sudahpun diwujudkan sejak lima tahun lalu namun hanya untuk guru-guru kelas pemulihan khas.

Katanya, kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan di sekolah-sekolah dengan nisbah seorang pembantu guru bagi 500 pelajar.

''Langkah ini akan menjamin kualiti pengajaran guru-guru dapat dipertingkatkan terutama apabila kerajaan kini mahu memberi perhatian untuk memperkukuhkan beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu di kalangan pelajar.

''Langkah mewujudkan jawatan ini juga penting apabila berlaku transformasi pendidikan termasuk apabila kerajaan melaksanakan penilaian berdasarkan sekolah kelak,'' katanya.

Menyentuh mengenai cadangan mewajibkan calon SPM lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris, Hashim berkata, NUTP menyokong penuh jika ia dilaksanakan kelak.

Namun, katanya, kementerian perlu mencari mekanisme yang boleh menjamin bahawa langkah tersebut tidak akan menjejaskan pelajar itu sendiri jika gagal menguasai bahasa itu dengan baik.

Sumber-Utusan Malaysia


Bagi aku, memang perlu jawatan pembantu guru ini diwujudkan. Sememangnya, sekarang ini guru bukan hanya mengajar, malah terpaksa melaksanakan tugas2 pengkeranian. Sekiranya, jawatan ini diwujudkan, guru dapat menumpukan sepenuhnya dalam proses pengajaran mereka. Sahabat-sahabat lain macam mana? Apa pandangan anda?

Kalau jawatan pembantu guru dilaksanakan, memang menyenangkan guru la... Hehe..

No comments:

Aku & Dia

Daisypath Anniversary Years Ticker