Sahabat@Dusun Bayu

Thursday, July 29, 2010

Sepasang Kasut Sukan: Adaptasi sebuah realiti kehidupan

Salam...

Kepada sahabat2 blogger & pembaca blog Poet Dusun Bayu yg disayangi....
Entri kali ni aku nak kongsikan sebuah cerpen hasil karya aku sendiri yg diadaptasi daripada sebuah realiti kehidupan...
Jalan ceritanya aku ubah sikit bersesuaian dengan tugasan yang diberikan...
Nama & watak dalam cerpen ini adalah rekaan semata-mata...
Tidak ada kena mengena dgn yg hidup atau yg telah tiada tetapi menggunakan nama yg sama... Hehe...

Selamat membaca...

SEPASANG KASUT SUKAN: Adaptasi sebuah realiti kehidupan

Gambar hiasan

Langit semakin gelap dengan awan yang tebal dan menutupi sinaran mentari. Titis-titis hujan mula jatuh ke bumi dan membasahi alam maya. Angin petang yang sayu menjentik tubuhku. Aku masih lagi mahu berkira-kira sama ada mahu ke padang atau tidak untuk bermain bola sepak bersama-sama kawanku. Hujan semakin lebat dan langit pun semakin gelap. Aku mencari-cari kasut bola di dalam stor. Emak memberitahu aku bahawa dia telah menyimpan kasut bola aku di dalam stor kerana tidak digunakan.

“Mak, mak nampak tak kasut bola saya?” Aku bertanya kepada mak sambil mencari-cari di rak kasut.

“Ada… Mak simpan kat dalam stor tu. Kaukan sudah lama tak bermain bola dengan kawan-kawan engkau tu. Tak ada orang yang guna kasut bola kau tu. Sayang pula mak tengok kasut tu berhabuk kat rak kasut. Sebab tulah mak simpan dalam stor.”

“Owh… Kalau macam tu saya pergi ambil kasut bola tu kat storlah. Terima kasih mak.”

Aku pun masuk ke dalam stor dan mencari kasut bolaku. Stor di rumah aku tidaklah besar mana pun. Tetapi, barang-barang di dalamnya disusun dengan kemas oleh emak. Sebab itulah stor itu nampak luas. Senang sahaja kalau hendak mencari barang-barang di dalam stor itu.

Akhirnya aku menjumpai kasut bolanya di satu sudut stor itu. Selepas mengambil kasut bola tersebut, aku ternampak sepasang kasut yang sudah lusuh dan koyak sedikit di tepinya. Aku pun mengambil kasut itu dan membawanya keluar.

“Ini kasut aku dulu. Kasut yang mak belikan untuk aku masa aku tingkatan 2 dulu. Aku ingatkan kasut ni dah dibuang. Kat dalam stor ini rupanya kau.” Aku bercakap seorang diri.

Kasut itu merupakan kasut yang dibelikan oleh emak semasa aku berada di tingkatan 2 dahulu. Sudah 10 tahun usia kasut itu. Aku mula mengingati semula kisah di sebalik kasut yang lusuh itu.

“Azwandy, awak telah terpilih untuk menjadi pemain pelapis pasukan bola sepak sekolah. Minggu depan kita akan mulakan latihan. Saya suka tengok cara awak bermain bola. Awak ada kemahiran yang tinggi dan berpotensi menjadi pemain bola sepak yang bagus. Tapi, saya tak nak awak main bola dengan kasut biasa macam ni. Awak mesti ada kasut bola. Minggu depan saya tak nak tengok awak main bola guna kasut ini lagi. Kalau awak tak ada kasut bola, awak takkan dapat bermain untuk pasukan ini. Macam mana, awak faham tak?” Cikgu Fauzi menepuk bahuku dan pergi meninggalkanku.

“Macam mana ni. Aku tak ada kasut bola. Kalau aku pinjam kasut bola Zul, dia bagi ke tak aku pinjam? Lagi pun, mesti dia nak guna juga. Kalau nak beli, aku tak ada duit. Sudahlah kasut bola mahal. Kesian pula aku kat mak dengan ayah nanti kalau aku minta mereka belikan kasut bola untuk aku. Hmm… Nantilah aku fikirkan caranya.” Aku bercakap di dalam hati. Zul menghampiriku dan menegurku.

“Kenapa dengan kau ni Wandy? Aku tengok muka kau macam ada masalah je. Cakaplah kat aku kalau kau ada masalah. Manalah tahu aku boleh tolong? Zul cuba memujuk aku untuk menceritakan masalahku kepadanya.

“Macam ni Zul. Tadi cikgu Fauzi cakap kat aku. Kalau aku nak main bola untuk pasukan sekolah, aku kena ada kasut bola. Tapi, aku tak ada kasut bola. Kau pun tahukan, aku tak mampu nak beli kasut bola. Lagi pun aku tak nak menyusahkan mak dengan ayah aku untuk belikan kasut bola untuk aku.” Aku menceritakan masalah yang aku hadapi kepada Zul.

“Tu ke masalah yang kau fikirkan. Apa kata kau cuba minta mak dengan ayah kau belikan kasut tu untuk kau. Manalah tahu mereka boleh belikan.” Zul memberi cadangan kepada aku.

“Aku tak beranilah Zul. Aku tak nak susahkan mereka. Kau tak faham masalah keluarga aku. Kau senanglah sebab sudah ada kasut bola.” Aku bangun dan meninggalkan Zul.

Zul pun bangun dan pergi ke arah aku. “Janganlah marah. Maaflah kalau aku salah cakap. Tapi, tak salahkan kalau kau cuba cakap kat mak dan ayah kau.” Zul memujuk aku.

“Baiklah… Nanti aku cuba cakap kat mak dan ayah aku. Terima kasihlah Zul.”

Aku dan Zul pun balik bersama-sama.

Pada malam itu, aku ingin menyatakan hasrat hatiku kepada emak. Aku berkira-kira sama ada mahu memberitahu emak atau tidak mengenai hasratku itu. Aku bimbang aku akan menyusahkan emak dan ayah. Selepas selesai makan malam, aku duduk di beranda rumah. Aku termenung dan di kepalaku hanya memikirkan kasut bola sahaja. Emak perasaan dengan perlakuan aku itu. Emak tahu bahawa aku mempunyai masalah kerana selepas balik dari pemilihan pemain bola sepak sekolah petang tadi, aku nampak sedih dan selalu termenung. Emak menghampiri aku nak meneggurku.

“Apa yang kau menungkan tu nak? Mak tengok dari petang tadi muka kau sedih je. Kenapa nak? Kau tak terpilih untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah ke?” Emak cuba memujuk aku supaya menceritakan apa yang terbuku di hatiku.

“Taklah mak. Saya terpilih untuk jadi pemain pelapis pasukan bola sepak sekolah.”

“Habis tu, kenapa kau nampak sedih je sejak petang tadi?”

“Macam ni mak. Cikgu Fauzi cakap tadi kalau saya tak ada kasut bola, saya tak boleh main untuk pasukan bola sepak sekolah.” Aku menjelaskan apa yang terpendam di hati kepada emak.

“Owh... Tu ke masalahnya. Jadi, kau perlukan kasut bolalah ni?”

“Ya mak. Saya mesti ada kasut bola. Baru boleh pergi latihan minggu depan.”

“Kalau macam tu, nanti mak cakap kat ayah kau ye nak. Dahlah tu. Jangan sedih-sedih lagi. Mak masuk dalam dululah ye. Jangan lupa tutup pintu nanti.” Mak pun masuk semula ke dalam rumah dan meninggalkan aku bersendirian.

“Wah... Lega rasanya. Nasib baiklah mak nak tolong aku belikan kasut bola tu. Dapatlah aku bermain untuk pasukan bola sepak sekolah nanti.” Aku berkata di dalam hati. Aku berasa gembira kerana emak telah berjanji untuk membelikan kasut bola untukku. Aku pun masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.

Ketika aku hendak masuk ke dalam bilik, aku terdengar perbualan mak dan ayah. Aku cuba mendengar apakah yang dibualkan oleh mak dan ayah.

“Ayahnya... Anak kita si Wandy tu sudah terpilih untuk menjadi pemain bola sepak sekolah. Tapi, kalau dia nak bermain untuk pasukan sekolah, dia mesti ada kasut bola. Ayahnya ada duit tak untuk belikan kasut bola tu?” Emak berkata kepada ayah.

“Emaknya... Abang tak ada duitlah nak belikan kasut untuk anak kita tu. Bukan abang tak nak belikan. Tapi, duit kita dah digunakan untuk bayar sewa rumah dan beli makanan. Duit yang tinggal ni pun untuk bayar yuran sekolah anak-anak kita.” Ayah berkata kepada emak.

“Kalau macam tu kata abang, saya fahamlah.”

Setelah mendengar perbualan emak dan ayah, aku terus ke bilik. Aku berasa sangat bersalah kerana telah menyebabkan emak dan ayah bersusah hati. Aku kasihan melihat ayah yang bersusah payah bekerja untuk menjaga mereka adik-beradik. Aku mengerti bahawa aku tidak mampu untuk memiliki kasut bola sendiri.

“Tak apalah kalau tak ada kasut bola. Daripada aku menyusahkan emak dan ayah lebih baik aku lupakan niat aku untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah.”Bisikku di dalam hati.

Aku sedang duduk di tepi padang bola sepak dan memerhatikan kawan-kawaku menjalani latihan. Aku berasa sedih kerana tidak dapat menyertai latihan itu. Cikgu Fauzi sudah mengatakan kepadaku bahawa hanya pemain yang mempunyai kasut bola sahaja boleh bermain. Kalau tidak ada, tidak boleh main dan hanya boleh duduk memerhatikan sahaja. Aku berasa sangat geram dan berpendapat bahawa tindakan cikgu Fauzi sangat kejam. Dengan perasaan yang dukacita, aku pun melangkah longlai meninggalkan padang itu. Mataku tidak tahan melihat kawan-kawanku yang lain seronok menjalani latihan sedangkan aku hanya duduk di luar padang. Lebih baik aku pulang daripada hanya duduk di situ. Aku pun pulang ke rumah dengan perasaan yang sedih.

Setelah sampai di rumah, aku duduk di beranda rumah. Emak yang menyedari kepulangan aku terus pergi ke arahku dengan membawa sebuah kotak dan memberikannya kepada aku.

“Nak... Nah, ambil kasut ni.” Emak memberikan sepasang kasut kepada aku.

“Mak dengan ayah tak mampu nak belikan kasut bola untuk kau. Jadi mak belikan kasut sukan ni untuk kau. Mak minta maaf sebab tak dapat tunaikan janji mak kat kau.” Emak berkata kepada aku.

“Tak apa mak. Saya faham. Tapi, kenapa emak susah-susah belikan kasut ni untuk saya?”Aku bertanya kepada emak.

“Emak belikan kasut ni sebab kaukan tak ada kasut sukan. Lagi pun kasut ni taklah semahal kasut bola. Kasut ni pun kau boleh guna untuk sukan lain. Mak tahu kau suka bersukan. Sebab tulah mak belikan kasut ni untuk kau.” Kata emak kepada aku sambil tersenyum.

“Terima kasih mak sebab belikan kasut ini untuk saya. Hmm... Mak, saya dah tarik diri dari pasukan bola sepak sekolah. Jadi, lepas ni emak tak payahlah risau pasal kasut bola saya. Saya nak jadi atlit olahraga sekolah pula. Saya nak guna kasut yang mak belikan ni.” Aku berkata kepada emak sambil memegang kasut yang diberikan oleh emak.

“Baguslah kalau macam tu nak. Mak sentiasa sokong anak mak ni. Kalau bersukan tu, buatlah bersungguh-sungguh. Tapi, pelajaran jangan diabaikan pula. Kedua-duanya penting untuk kita.” Pesan emak kepada aku.

“Baiklah mak. Saya akan ingat pesanan mak tu.”

Setelah kecewa kerana tidak dapat menyertai pasukan bola sepak sekolah, aku telah menyertai pasukan olahraga sekolah. Aku telah terpilih untuk menjadi atlit larian jarak jauh, lompat jauh dan lompat kijang. Aku sangat gembira kerana tidak lagi mengalami masalah kasut kerana aku sudah mempunyai kasut sukan yang telah dihadiahkan oleh emak. Emak dan ayah juga selalu menyokong aku sekiranya ada pertandingan. Aku sangat berterima kasih kepada emak dan ayah kerana selalu menyokongku. Aku juga sangat berterima kasih kepada emak dan ayah kerana telah membelikan kasut sukan itu.

Aku telah menjadi seorang pelari jarak jauh, atlit lompat jauh dan lompat kijang yang disegani di daerahku. Semua itu bermula selepas aku mendapat sepasang kasut sukan daripada emak. Aku bersyukur kerana walaupun tidak dapat menyertai pasukan bola sepak sekolah, tetapi dia berjaya menjadi atlit olahraga yang disegani. Selain berjaya dalam sukan, aku juga telah berjaya dalam pelajaran. Aku telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Hidup keluarga aku juga telah menjadi lebih senang dan bahagia. Semuanya bermula selepas aku mendapat kasut sukan daripada emak. Aku sangat sayang kepada kasut yang diberikan oleh emak itu.

“Ha... Dah jumpa belum kasutnya?” Emak bertanya kepada aku.

“Mak ni buat saya terkejut je...” Aku tersentak daripada lamunanku.

“Apa yang kau menungkan tadi nak? Mak tengok kau senyum sorang-sorang je tadi.” Emak ingin tahu apa yang membuatkan aku tersenyum sendirian tadi.

“Saya teringat kisah kasut ni mak. Kasut yang emak berikan kepada saya masa saya tingkatan 2 dulu. Mak ingat lagi tak?” Aku menunjukkan kasut itu kepada emak.

“Mestilah emak ingat. Sebab tulah mak simpan kasut tu dalam stor tu. Mak tahu kau mesti cari kasut tu nanti.”

“Mak... Terima kasih sangat-sangat kat emak. Sebab emaklah saya berjaya sekarang ni.” Aku memegang tangan emak dan menciumnya.

“Tadi cakap nak pergi main bola. Langit pun dah cerah balik tu.”Emak berkata kepada aku.

“Tak jadilah nak main bola. Saya nak pergi joging kejap. Nak guna kasut ni.” Aku senyum dan memakai kasut itu.

Aku pun meninggalkan emak dan berlari ke taman tempat aku selalu berlatih dahulu. Walaupun kasut itu sudah lusuh dan sempit. Tetapi, kasut itulah yang telah mengubah hidup aku. Sepasang kasut sukan yang dihadiahkan oleh emak kepada aku.

Sekain.

Itulah cerpen yang aku hasilkan utk asaimen ko-kurikulum dulu...

Adaptasi daripada sebuah realiti kehidupan...

Utk pengetahuan semua, Cikgu Fauzi telah meninggal dunia semasa aku berada di tahun pertama di UPM...

Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang2 beriman...

Pasal aku jadi atlit tu rekaan semata-mata k...

Lepas aku x join team bola, aku join team hoki sekolah... Hehe... Guna kasut yg mak aku bagi tu la...

Sampai aku jd kapten hoki sekolah...Hehe...

Okla... Tu je utk entri kali ni...

Adios...
~~~...Doakan saya berjaya utk temu duga penempatan minggu depan...~~~

5 comments:

RedLife2Love said...

salam takziah juga dari sy buat arwah Cikgu Fauzi.. dan very nice cerpen la.. gud job!!

Lurunna said...

suka baca :))

neway, gud luck a.wandy...

Azwandy Bin Muhamad said...

RedLife2Love- Thanks ye...

dayana said...

emm best cerita nie...
memberi inspirasi kapada saya...=)

Azwandy Bin Muhamad said...

dayana- Hehe... Tq..

Aku & Dia

Daisypath Anniversary Years Ticker